Sejarah PPKM

Sejarah PPKM

Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, dengan akronim rasminya PPKM, merupakan salah  sebuah  pusat pengajian di Universiti Sains Malaysia yang menawarkan program kejuruteraan pada peringkat pengajian tinggi. Berdasarkan rekod, program kejuruteraan telah ditawarkan pertama kali di USM pada 1972 oleh Pusat Pengajian Sains Gunaan di Kampus Induk Pulau Pinang. Selari dengan perkembangan bidang kejuruteraan dan pembangunan negara, suatu cadangan telah diutarakan untuk mewujudkan Kampus Kejuruteraan USM.

Kampus Kejuruteraan USM yang pertama telah diwujudkan pada 1986. Ianya merupakan kampus sementara dengan menumpang bangunan Majlis Perbandaran Ipoh sementara menunggu kampus tetap di Tronoh disiapkan. PPK Mekanik secara rasminya beroperasi pada 1 Januari 1989. Setelah kampus baru di Tronoh atau lebih tepat lagi di Bandar Baru, Seri Iskandar, Perak siap dibina, ianya telah dinamakan sebagai Kampus Cawangan Perak (KCP) USM. Proses perpindahan ke kampus baharu siap sepenuhnya pada April 1990. Pada 1997, Kerajaan Pusat membuat keputusan untuk memindahkan program kejuruteraan USM ke kampus baru di Pulau Pinang bagi membolehkan pembangunan sepenuhnya Universiti Teknologi Petronas di kawasan berkenaan. Kampus Kejuruteraan berpindah secara berperingkat ke kampus baharu bermula pada tahun 2000. Secara rasminya, Kampus Kejuruteraan USM memulakan operasinya di kampus baru Seri Ampangan, Nibong Tebal pada sesi akademik 2001/2002 bermula Mei 2001. Kampus Kejuruteraan USM kini beroperasi di di daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang berhampiran dengan daerah Kerian di Perak dan daerah Bandar Baharu di Kedah.

PPK Mekanik telah menawarkan program kejuruteraan sejak ditubuhkan pada 1989. Program pertama yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal atau Bachelor of Engineering (Honours) in Mechanical Engineering. Pada mulanya, program ini perlu dilalui oleh pelajar selama 4 tahun sebelum berubah kepada sistem pengajian tiga tahun untuk beberapa tahun ambilan pelajar. Ianya kembali kepada sistem pengajian empat tahun bermula tahun 2000. Pada tahun 1999, PPKM menawarkan program kedua untuk pengajian pra-siswazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Pengurusan atau Bachelor of Engineering (Honours) in Manufacturing Engineering with Management. Pusat pengajian juga menawarkan program pasca-siswazah pada peringkat Master dan juga Doktor Falsafah yang berorientasikan mod penyelidikan.


Secara umumnya, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal USM telah dirangka untuk menyediakan pelajar bagi memenuhi keperluan kerjaya dalam bidang kejuruteraan secara meluas dalam pelabagai disiplin kejuruteraan mekanikal. Kurikulum program telah direka dengan mengambilkira aktiviti rekabentuk, analisis numerikal & simulasi dan juga pembangunan mesin & infrastuktur. Aspek praktikal untuk membangunkan kemahiran tangan pelajar juga dirancang dengan latihan di makmal, amalan asas bengkel kejuruteraan dan latihan industri. Selain itu juga, pelajar didedahkan dengan perkembangan terkini kejuruteraan seperti bio-kejuruteraan, nanoteknologi & kejuruteraan mikro/nano, bahan pintar dan kejuruteraan pengiraan & simulasi. Program ini juga menekankan ilmu rentas bidang melibatkan bidang kejuruteran lain seperti elektrik & elektronik, bahan & sumber mineral, kimia, awam dan aeroangkasa. Pelajar juga didedahkan dengan subjek non-teknikal seperti pengurusan, keusahawanan, perakaunan dan kemahiran berkomunikasi bagi melahirkan seorang jurutera yang holistik.

Manakala, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Pengurusan direkabentuk untuk menghasilkan jurutera pembuatan yang dapat mengaplikasikan prinsip saintifik dalam menghasilkan produk kejuruteraan bernilai tinggi. Graduan Kejuruteran Pembuatan PPKM dilatih agar dapat menjadi seorang jurutera mahir yang mampu merekabentuk dan mengetuai operasi pembuatan di kilang-kilang pelbagai jenis produk seperti peralatan elektronik, automotif, makanan & minuman, produk pengguna dan pelbagai lagi industri di seluruh Malaysia. Secara umumnya, perlaksanaan program ini menyerupai program Kejuruteraan Mekanikal tetapi lebih menjurus kepada rekabentuk pembangunan produk, pemprosesan bahan dan pembuatan produk bernilai tinggi. Selain itu, program Kejuruteraan Pembuatan di USM juga mempunyai niche dalam bidang pengurusan dengan mendedahkan pelajar kepada teknik pengurusan terkini di industri seperti Lean Six Sigma dan pelbagai lagi teknik melalui kerjasama dengan pihak industri.

PPK Mekanik sentiasa mempertingkatkan kualiti pengajaran dan juga penyelidikan dalam bidang kejuruteraan agar setanding dengan universiti di peringkat antarabangsa. Kedua-dua program kejuruteraan di PPKM telah diiktiraf oleh badan antarabangsa yang membolehkan para pelajarnya mendapat peluang pekerjaan di peringkat global. Selain itu, program Mekanikal dan Pembuatan PPKM juga tersenarai dalam TOP100 in the World yang disenaraikan oleh QS World Ranking. Sesuai dengan motto USM "Kami Memimpin", pihak PPKM akan terus bergerak memimpin perkembangan ilmu pengtehauan untuk manfaat rakyat, negara dan dunia demi kelestarian manusia sejagat. 
Program Kejuruteraan USM memulakan operasi di negeri Perak bermula di Ipoh dan kemudiannya berpindah ke Kampus Cawangan Perak di Tronoh.

Perasmian USM KCP dilaksanakan oleh Sultan Azlan Shah pada tanggal 13 September 1990.

Pandangan hadapan PPKM semasa pembangunan semula kampus di Ladang Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Suasana kampus dari pandangan belakang PPKM semasa pembangunan awal kampus.


Wajah awal PPKM semasa memulakan operasi di Kampus Kejuruteraan Seri Ampangan pada tahun 2001.

Wajah baharu PPK Mekanik USM di awal tahun 2018.

No comments:

Post a Comment